Ada Penawar Bagi Mengawal Darah Tinggi

6 07 2010

Oleh Soraya Jamal

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) — Bilangan penghidap penyakit darah tinggi yang berjumlah lebih satu bilion orang di seluruh dunia dijangka meningkat kepada 1.56 bilion orang menjelang 2025.

Ia adalah satu masalah kesihatan tanpa petanda awal ataupun simptom, oleh itu lazimnya dirujuk sebagai ‘pembunuh senyap’. Atas alasan ini, ramai yang tidak sedar akan kehadiran masalah kesihatan ini sehingga mereka berjumpa doktor.

Hipertensi, istilah perubatan bagi tekanan darah tinggi, menunjukkan bahawa jantung berfungsi melampaui had lazim, menyebabkan tekanan tinggi pada jantung dan arteri.

Pertubuhan Malaysia bagi Hipertensi mentakrif hipertensi sebagai keadaan di mana tekanan sistolik adalah lebih daripada 140 mmHg atau tekanan diastolik melampaui 90 mmHg. Secara tipikal, bacaan tekanan darah tinggi sebanyak tiga kali diperlukan dalam tempoh beberapa minggu untuk mendiagnosis keadaan ini.

Darah tinggi boleh menyumbang kepada sakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan aterosklerosis. Jika keadaan ini tidak dirawat atau tidak diuruskan, jantung terpaksa mengepam dengan lebih kuat lagi untuk bekalan darah beroksigen yang cukup ke organ dan tisu untuk memenuhi keperluan tubuh.

EMPAT DARIPADA 10 ORANG ADA DARAH TINGGI

Di Malaysia, empat daripada 10 warga dewasa mengalami tekanan darah tinggi dengan hanya 26 peratus daripada mereka berjaya mengawal tekanan darah masing-masing.

Kos langsung dan tidak langsung dalam merawat tekanan darah tinggi masing-masing dianggarkan RM2,719 dan RM7,511 bagi setiap pesakit pada 2009.

Selain daripada itu sehingga 85 peratus daripada pesakit mungkin memerlukan lebih daripada satu jenis ubat untuk mengawal tekanan darah, yang menunjukkan perlunya rawatan kombinasi ubat yang berkesan. Ini jelas sekali satu masalah besar kesihatan umum.

“Bagi para doktor, cabaran terbesar ialah mengawal tekanan darah dan mengekalkannya pada paras yang sesuai,” kata Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sim Kui Hian semasa sidang media baru-baru ini.

Dr Sim, yang juga pakar perunding kardiologi berkata situasi ini menunjukkan perlunya terapi baru bagi tekanan darah tinggi.

MENGAWAL HIPERTENSI

Hypertensi perlu dikawal sepanjang hayat seseorang dan boleh diuruskan melalui sedikit perubahan dalam gaya hidup atau terapi ubat-ubatan. Perubahan kecil dalam gaya hidup boleh membantu dalam menguruskan dengan berkesan paras tekanan darah seperti mengurangkan pengambilan garam dan alkohol, bersenam dan hentikan tabiat merokok.

Tiada siapapun harus memandang remeh akan keadaan ini khasnya dengan simptom-simptom penyakit ini tidak ketara. Mereka dengan usia yang semakin meningkat dan daripada keluarga dengan sejarah penyakit itu perlu lebih berwaspada.

Para pesakit dengan tekanan darah tinggi luarbiasa mungkin mengalami rasa pening atau pendarahan melalui hidung. Bagaimanapun, tanda-tanda ini secara tipikal tidak muncul sehingga tekanan darah mencapai paras yang boleh mengancam nyawa.

TERAPI UBAT

Mereka dengan hipertensi kini mempunyai pilihan dalam perubatan bagi merawat masalah ini dengan menggunakan ubat Rasilez (aliskiren) – satu ubat yang boleh mengekalkan tekanan dengan konsisten bagi tempoh lebih 24 jam. Ini adalah satu pertimbangan rawatan yang penting, kerana banyak ubat bagi tekanan darah tinggi tidak mempunyai kesan berterusan, khasnya semasa awal pagi apabila tekanan darah meningkat.

Bersama ubat ini, pesakit mengalami hasil yang lebih baik dengan mengekalkan 91 peratus daripada kecekapan dalam mengawal tekanan darah walaupun jika terlepas satu dos ubat ini.

Ubat ini yang boleh bertindak bersendirian atau bersama ubat lain menunjukkan hasil yang memberangsangkan, sehingga bagi mereka yang gagal mengawal tekanan darah menggunakan ubat-ubatan yang lain.

Ia berfungsi dengan menyekat RAAS (sistem renin angiotensin aldosterone), satu inovasi utama dalam merawat tekanan darah tinggi bagi lebih sedekad. Rasilez adalah satu daripada ubat-ubatan yang diluluskan untuk membantu pesakit mencapai matlamat kawalan tekanan darah mereka dengan mengawal RAAS.

“Novartis bangga untuk memperkenalkan ubat baru ini dalam memerangi penyakit yang mengancam dan semakin berleluasa ini,” kata ketua pegawai eksekutif Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd, Avinash Potnis.

— BERNAMA


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


Arkib

Blog Stats

  • 127,700 hits


%d bloggers like this: